Rabu, 4 Januari 2023

Dia Yang Hadir Dalam Mimpiku


Banyak kali juga dia hadir dalam mimpiku. Hadirnya dia sering tamsilan membawa alamat bakal terjadi sesuatu yang buruk kepadaku. Di bawah pokok inilah aku sering melihat dia berdiri bersendirian sambil mendendangkan lagu yang sangat indah. Namun begitu, wajahnya tidak begitu jelas kelihatan dalam mimpiku. Bentuk tubuhnya menggambarkan dia juga sebaya denganku sekitar awal 20an. Setiap kali dia berjalan meninggalkan kawasan pokok itu, dia sering meninggalkan pesan supaya aku berhati-hati. Sehingga pada suatu hari, prognosis aku tepat apabila aku mengalami kemalangan motor. Lalu aku terfikir bahawa dia yang hadir dalam mimpiku mungkin sebagai peringatan supaya aku sentiasa berhati-hati dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya aku tidak terlalu leka.

Rabu, 28 Disember 2022

Mencari Kiblat


Kitab ini seringkali aku terlupa untuk membacanya. Kadang-kadang setiap kali aku bertanya khabar kedua-dua ibu bapaku di kampung melalui telefon, setiap kali itulah tak lekang dari bibir orang tuaku memesan supaya membacanya. Usai maghrib tadi, mataku tertumpu ayat yang menyentuh hati kecilku iaitu ayat 186 Surah Al-Baqarah. Ayat itu menekankan bahawa Yang Esa sangat dekat dan sayang akan hambanya yang sering berdoa kepadanya. Aku terkaku seketika mengenangkan bahawa dia sangat menanti luahan dan doa daripada hambanya. Betapa lalainya aku apabila sehelai Al-Quranpun susah bagiku untuk membacanya tatkala aku begitu hanyut dalam kehidupan duniawi. Kau bantulah hambamu ini Ya Rabb, sesungguhnya aku hanya pacal yang hina yang ingin menjadi penghuni syurga Firdausmu.

 

Isnin, 19 Disember 2022

12 Tahun Yang Tidak Sia-Sia


12 tahun sejak 2010 bukanlah satu tempoh yang singkat. Sejak itulah setiap jatuh bangun yang dilalui olehnya aku ikuti dengan mendalam.  Aku pernah digelar pentaksub. Bagiku, aku bukanlah pentaksub kepada beliau tapi lebih kepada insan yang mendapat ilham daripada beliau sama ada di luar padang mahupun di atas padang. Hubungan aku dengan beliau pula hanyalah sebagai peminat dan pemain yang tak pernah bersemuka apatah lagi kami dipisahkan oleh dua benua berlainan. Dadaku berdegup kencang tatkala melihat sepakan terakhir pemain Argentina menerjah laju ke gawang gol Perancis. Jeritan pengulas pula hampir menembusi gegendang telingaku pada saat itu. Akhirnya, 19 Disember 2022 aku tak dapat menahan air mata kegembiraan tatkala melihat idolaku berjaya menjulang trofi agung, FIFA World Cup 2022 sambil diraikan rakan sepasukannya. 12 tahun aku menunggu saat ini serta empat edisi Piala Dunia telah aku ikuti untuk menunggu detik bersejarah ini. Stadium Al-Lusayl, Qatar menjadi saksi bahawa ratusan juta peminatnya diseluruh pelosok dunia telah menitiskan air mata selepas secara rasmi dinobatkan sebagai juara dalam kejohanan tersebut. Sungguh aku kagum denganmu, Leo.

 

Rabu, 14 Disember 2022

Mengingati Kebesaran Yang Maha Esa


Seringkali aku terleka dalam hidupku. Walaupun aku hanyalah capal yang hina kepadaNya namun aku yakin dia tak pernah melupakanku. Aku pernah rebah beberapa kali. Rebah terduduk, terdiam dan tak mampu berkata-kata. Tiap kali aku berdoa dalam sujud terakhirku, perkara yang tak pernah lupa aku sebutkan ialah berikan semangat kepadaku untuk bangkit kembali. Terasa dekat sekali jiwa ini tatkala dahiku sujud dilantai ketika bersembahyang. Tiap kali itulah dia sentiasa makbulkan doa hambanya yang hina ini. Aku bukanlah manusia yang baik tapi pesanan kedua-dua ibu bapaku sejak kecil ialah janganlah tinggal solat lima waktu walau sesukar manapun situasi yang kita lalui. Aku harap aku sentiasa diberikan panduan olehnya agar tidak aku terpesong walaupun sejengkal. Aku tahu dia sering menanti hambanya untuk kembali ke jalan yang lurus.

Selasa, 13 Disember 2022

Apabila Musim Bah Membuka Tirai




Apabila masuk bulan Disember setiap tahun, jantungku sentiasa berasa gemirap. Disember 2017, genap lima tahun peristiwa hitam yang tak mungkin aku lupakan. Peristiwa yang hampir menyebabkan aku trauma seumur hidup. Hujan yang menghempas bumi itu seolah-olah tiada gambaran menemui penghujungnya. Walaupun ketika itu jam baru menghampiri 9 pagi, tapi keadaan langit yang gelap gelita seperti berada pada waktu senja. Pemandangan di kelilingku bagaikan tiada sinar apatah lagi bekalan elektrik juga terputus di seluruh kawasanku. Akhirnya, pada jam 12 tengah hari, sekeliling rumahku sudah ditelan air. Rumahku ibarat pulau yang dikelilingi lautan luas. Nasib kami baik apabila keadaan rumahku di kawasan yang agak berbukit. Namun begitu, banyak nyawa yang terbang akibat bah merah itu. Kucing kesayanganku juga turut pergi. Lebih sayu apabila aku hanya menjumpainya beberapa hari selepas air mulai surut. Itulah kali terakhir aku melihatnya. Emosiku terganggu tatkala terlintas mengenai Leo, kucing yang aku pelihara selama dua tahun. Sampai sekarang trauma aku masih belum pulih sepenuhnya tatkala musim bah.

 

Khamis, 24 November 2022

Troposfera Bumi Hitam Putih

Apabila tiba di sempadan bumi kelahiranku Terengganu, mataku tertumpu akan bentuk awan kemawan yang berkepul-kepul itu. Awan itu tidak ubah seperti sebuah perkampungan yang tergantung. Entah ada ataupun tidak makhluk yang tinggal di perkampungan itu. Wallahualam. Apabila aku melihat kebawah pula, terdapat perkampungan manusia yang mendiami sepanjang pesisiran Sungai Terengganu. Jarak aku dengan perkampungan itu pula hanyalah sekitar lapan kilometer sahaja. Terasa kerdilnya diri sebagai makhluk apabila melihat manusia yang lalu-lalang di bawah tidak ubah seperti semut. Begitulah hakikat kita sebagai manusia yang sering berasa diri kita lebih tinggi namun realitinya hanyalah sahaya yang sangat kerdil disisiNya.

 


Rabu, 23 November 2022

Bulan




Bulan adakalanya timbul pada waktu siang dan malam. Namun begitu, kewujudannya pada waktu siang tidak begitu menyerlah di kaca mata manusia. Pemandangannya yang terang pada waktu malam pula tidak dapat disangkal lagi akan keindahannya. Lantas mengingatkan aku bahawa jika kita dibenci oleh seseorang kadang-kadang bukanlah asbab diri kita tapi keberadaan kita dalam situasi yang salah. Adakalanya dengan hanya melihat penampilan kita sudah membuatkan mereka menilai diri kita tanpa mengenali dengan mendalam. Sebagai manusia, tidak perlulah menjadi sempurna di mata manusia. Mata manusia tidak akan menjumpai kesempurnaan dalam diri kita. Carilah manusia yang menghargai keberadaan kita. Mereka itulah yang sewajarnya dijadikan circle dalam kehidupan kita. Tidak usah pandang ke belakang yang jelas hanya membuang masa.

Dia Yang Hadir Dalam Mimpiku

Banyak kali juga dia hadir dalam mimpiku. Hadirnya dia sering tamsilan membawa alamat bakal terjadi sesuatu yang buruk kepadaku. Di bawah po...