Khamis, 24 November 2022

Troposfera Bumi Hitam Putih

Apabila tiba di sempadan bumi kelahiranku Terengganu, mataku tertumpu akan bentuk awan kemawan yang berkepul-kepul itu. Awan itu tidak ubah seperti sebuah perkampungan yang tergantung. Entah ada ataupun tidak makhluk yang tinggal di perkampungan itu. Wallahualam. Apabila aku melihat kebawah pula, terdapat perkampungan manusia yang mendiami sepanjang pesisiran Sungai Terengganu. Jarak aku dengan perkampungan itu pula hanyalah sekitar lapan kilometer sahaja. Terasa kerdilnya diri sebagai makhluk apabila melihat manusia yang lalu-lalang di bawah tidak ubah seperti semut. Begitulah hakikat kita sebagai manusia yang sering berasa diri kita lebih tinggi namun realitinya hanyalah sahaya yang sangat kerdil disisiNya.

 


Rabu, 23 November 2022

Bulan




Bulan adakalanya timbul pada waktu siang dan malam. Namun begitu, kewujudannya pada waktu siang tidak begitu menyerlah di kaca mata manusia. Pemandangannya yang terang pada waktu malam pula tidak dapat disangkal lagi akan keindahannya. Lantas mengingatkan aku bahawa jika kita dibenci oleh seseorang kadang-kadang bukanlah asbab diri kita tapi keberadaan kita dalam situasi yang salah. Adakalanya dengan hanya melihat penampilan kita sudah membuatkan mereka menilai diri kita tanpa mengenali dengan mendalam. Sebagai manusia, tidak perlulah menjadi sempurna di mata manusia. Mata manusia tidak akan menjumpai kesempurnaan dalam diri kita. Carilah manusia yang menghargai keberadaan kita. Mereka itulah yang sewajarnya dijadikan circle dalam kehidupan kita. Tidak usah pandang ke belakang yang jelas hanya membuang masa.

Selasa, 15 November 2022

Senja Di Pantai


Pemandangan waktu senja di pantai sememangnya menjadi pilihanku untuk menghabiskan masa. Bunyi burung-burung berkicauan kembali ke sarang mencetuskan lagi suasana harmoni di tepi pantai. Kami terpaku melihat indahnya ciptaan Allah S.W.T. Sambil mengunyah makanan yang telah kami bawa, kami lebih banyak menghabiskan masa menghayati keindahan pemandangan serta menikmati angin yang memukul tubuh berbanding berborak antara satu sama lain. Otak yang bekerja 24 jam sehari berasa lapang seketika. Terasa hilang sebentar soal duniawi yang tidak henti-henti mengejar kami. Namun begitu, tatkala senja mula tenggelam dek malam, suasana yang damai tadi mula berubah. Lantas aku terbayang bahawa kehidupan ada pasang surut. Tidak selamanya kita berasa kecewa ada masanya tuhan menggantikan kekecewaan dengan perkara yang jauh lebih baik dan begitulah seterusnya. Putaran kehidupan.

Hening Pagi Yang Mendamaikan




2.00 pagi. Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Di sinilah destinasi terakhir lazimnya tatkala aku ke bandaraya pesisir pantai itu sama ada bagi urusan kerja mahupun keluar bersama keluarga dan sahabat. Aku akan menghabiskan masa berjam-jam jam sehingga lewat pagi di pantai itu sambil mendengar bunyi ombak yang menenangkan jiwa seolah-olah berbisik kepadaku supaya kekal kuat ditambah pula dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang menghembus tubuhku. Disinilah tempat yang paling sesuai untuk berkomunikasi secara heart to heart terhadap seseorang yang aku percayai. Disinilah kami meluahkan perasaan, menceritakan pengalaman lalu, membincangkan masa hadapan dan banyak lagi yang tak mampu aku jelaskan. Lega! Itulah ungkapan yang mampu aku jelaskan untuk menggambarkan perasaanku tatkala berada di tempat yang damai serta bersama dengan orang yang aku sayangi.

 

Isnin, 14 November 2022

Mocha

 


Hot Mocha! Kali ini aku memilih Mocha bukanlah kerana aku penggemarnya! Tapi disebabkan ilustrasi yang terdapat pada buku menu minuman yang menjentik hati aku! Coraknya yang kelihatan agak berserabut mengingatkan aku tentang kehidupan sebagai seorang manusia yang memiliki liku-liku yang penuh onak duri. Sesiapa yang tidak mampu mengharunginya sudah pasti tersungkur di tengah jalan. Pun begitu, sebaik sahaja aku menggapai cawan tersebut lalu perlahan-lahan menghirupnya aku tersedar bahawa tuhan telah menjanjikan hasil yang terbaik kepada hambaNya jika kita berusaha disebalik segala penat lelah yang kita lalui.

Caffe Latte

Lihatlah indahnya seni yang terdapat pada secawan Caffe Latte ini. Indah bukan? Lihatlah pada jalurnya yang berwarna putih itu seolah-olah menggambarkan sebatang jalan yang sangat tenang di sebuah taman yang indah bagai syurga. Bentuk love itu pula umpama kawasan yang dipenuhi Lavender yang terdapat di taman itu yang mampu membuatkan sesiapa sahaja melihatnya jatuh cinta. Cukup sahaja aku melihat hasil seni pada secawan Caffe Latte ini sudah membuatkan aku berasa sangat bahagia apatah lagi setelah aku menikmatinya!


 

Khamis, 3 November 2022

Ilham

 


Aku dan kopi memang tak dapat dipisahkan. Bagiku, kopi merupakan penawar kepadaku. Walau dimana sahaja aku berada, sebesar mana ujianku lalui, kopilah yang menjadi penemanku. Secangkir kopi sudah cukup membuatku berasa lapang. Lapang yang tak mampu kuungkapkan dengan kata-kata. Ditambah pula dengan pemandangan awan biru yang menyegarkan mata, aku seolah-olah berada dalam dimensi lain. Aku seolah-olah telah melupakan seketika segala bebananku selama ini. Kopi ibarat sahabat yang setia menemaniku, mendengar keluh-kesahku, menasihatiku supaya terus kuat. Benar, kopi ibarat seorang sahabat bagiku.


Dia Yang Hadir Dalam Mimpiku

Banyak kali juga dia hadir dalam mimpiku. Hadirnya dia sering tamsilan membawa alamat bakal terjadi sesuatu yang buruk kepadaku. Di bawah po...